Sunday, November 15, 2009

Minuman segala Orang yang Berahi

salam.
kali ini ingin dikongsikan karangan Hamzah Fansuri berjudul Sharabul Ashiqin yg bermaksud Minuman segala Orang yang Berahi.

ketahui bahawa faqir daif Hamzah Fansuri hendak menyatakan jalan kepada Allah dan ma'rifat Allah dengan bahasa jawi dalam kitab ini, insyaAllah, supaya segala hamba Allah yang tiada tahu akan bahasa Arab dan Parsi supaya dapat membicarakannya.

Adapun kitab ini diberi nama Sharabul Ashiqin supaya barangsiapa hendak meminum minuman orang yang berahi lihatlah ke dalam kitab ini supaya dapat diperolehnya.

adapun ma'rifat Allah terlalu mushkil. jika tiada guru yg sempurna dan murid yang bijaksana, tiada terbicarakan, kerana ma'rifat Allah rahasia Nabi. tetapi barang kuasa kita tuntut, seperti sabda Rasulullah: barangsiapa menuntut sesuatu padahal dengan sungguh-sungguhnya, nescaya diperolehinya.
dan sabda Rasulullah: menuntut ilmu itu fardu atas segala Islam lelaki dan perempuan.
dan sabda Rasulullah: pergi tuntut ilmu oleh mu jikalau di benua China sekalipun.
dan firman Allah: tiada Ku jadikan jin dan manusia melainkan menyembah @ mengenal Daku.
dan firman Allah dalam hadith Qudsi: Aku adalah perbendaharaan tersembunyi, maka Ku kasih akan dikenal Daku, maka Ku jadikan segala makhluq supaya mengenal Daku.

kerana itu kata ahlul suluk bahawa mengenal Allah fardu dan menyembah Allah pun fardu sekadar kuasa kita. jangan mencari harta dan kebesaran dunya lebih daripada pagi dan petang, dan jangan mashgulkan anak isteri dan jangan makan tidur seperti binatang, kerana manusia itu terlalu mulia pada Allah. oleh itu ketahuilah kemuliaan diri kita.

seperti firman Allah: bagi mereka itu hati, tiada faham akan mereka, dan bagi mereka itu mata, tiada melihat akannya, bagi mereka itu telinga, tiada mendengar akannya, mereka itu seperti binatang, mereka itu terlalu sesat, mereka itulah yang lupa akan Tuhannya.

maka, kita kerjakan taat, dan mencari ma'rifat kepada guru yang sempurna syariat, tariqat dan hakikat, kerana syariat seperti pagar, tariqat seperti rumah, hakikat seperti isi rumah, jika rumah tiada berpagar, akibatnya isi rumah dicuri orang.

sekadar ini pendahuluan Sharabul Ashiqin. semuga berkesempatan untuk dikongsikan bab-bab yang menyatakan perbuatan Syariat, Tariqat, Hakikat, dan Ma'rifat, insyaAllah, di lain ketika.

wallahualam

No comments:

 

Bali Accommodation