Sunday, February 22, 2009

kitab hikam tok pulau manis- 1

Kitab Hikam Tok Pulau Manis ini dirumikan oleh al-Faqir Abu Zahrah Abdullah Thahir daripada kitab jawi cetakan Sulaiman Mar’ie dengan penambahan nota kaki. Adalah dinasihatkan pada para pembaca agar belajar atau bertanya kepada guru yang rasikh ilmunya lagi mursyid, supaya tiada tersalah faham atau tersalah tafsir akan kalam-kalam hikam tersebut. Sekian – Penterjemah dari jawi ke rumi, Abu Zahrah

بسم الله الرحمن الرحيم

(Kata faqir yang menterjemahkan ini kitab Hikam bagi Sheikh Imam Tajuddin Abul Fadhl Ahmad anak Muhammad anak ‘Abdul Karim anak ‘Athoillah رحمة الله عليهم
(Dan) sanya telah meminta akan aku setengah saudaraku yang saalik[1] bahawa menterjemahkan aku akan dia dengan bahasa jawi supaya memberi manfaat dengan dia segala orang yang mubtadi[2], maka kuperkenankan atas yang demikian itu dengan sekira-kira yang difahamkan Allah Ta’ala akan aku.

(Dan) adalah memanjangkan sedikit perkataannya kerana aku memasukkan perkataan syarahnya dengan sekadar kifayah[3] bagi orang yang mubtadi mengetahui dia, dan sanya kupohon kepada Allah سبحانه وتعلى akan sempurnanya dan akan beroleh manfaat segala orang yang tholib[4] akan dia dalam dunia dan dalam akhirat dengan berkat Sayyidul Mursalin wa aalihi wasahbihi ajmain.

(Kata) Sheikh رضى الله عنه:

﴿ من علامة الاعتماد على العمل ٭ نقصان الرجاء عند وجود الزلل﴾
Ertinya: Setengah daripada ‘alamat orang yang berjabat[5] diatas ‘amal itu kurang harapnya tatkala diperoleh kesalahan.

(Yakni) kurang harapnya tatkala maksiat dan sempurna harapnya tatkala taat dan demikan itu hal segala orang yang jahil yang menilik bagi dirinya ‘amal dan orang yang ‘arif[6] itu tiada sekali-kali menilik bagi dirinya ‘‘amal.

nota kaki:
1. Menurut bahasa orang yang berjalan, orang yang mengembara. Pada istilah tasauf, orang yang melakukan suluk yakni pengembaraan rohaniah, mendampingkan diri kesisi Allah Ta’ala dengan mengerjakan ‘ibadah, riadah dan mujahadah. Menurut ta’rif Sheikh Muhammad Nafis al-Banjari, salik itu ialah orang yang bersungguh-sungguh ia ijtihad berbuat ibadat kepada Allah Ta’ala dengan riadhah dan mujahadah dan mengamalkan segala wirid yang diijazahkan akan dia oleh sheikhnya kepadanya dengan tiada cedera ia mengerjakan dia dan menyalahi akan barang yang disuruhkan akan dia oleh gurunya daripada segala ibadat dan lainnya.
2. Peringkat permulaan dalam disiplin ilmu tasauf.
3. Mencukupi
4. Menuntut atau belajar
5. Bergantung atau berpegang
6. Orang yang benar-benar mengenal Allah dan juga dirinya, lalu hatinya sentiasa tidak lekang daripada bermuraqabah dan bermusyahadah kepadaNYA

1 comment:

Anonymous said...

salam..
tima kasih..
akan aku layan..

 

Bali Accommodation