Friday, March 10, 2017

alif tendang wau : sarkis



Di dalam buku tulisan Sasterawan Negara, Datuk Abdullah Hussain Seniman Agung P Ramlee terbitan Karangkraf (1984) ada mencatatkan peristiwa di sebalik dialog itu.


Sejurus selepas filem Pendekar Bujang Lapok diumum memenangi kategori komedi terbaik Festival Filem Asia keenam di Kuala Lumpur (1959).


Dalam buku tersebut menyebut bahawa Tan Sri Ghazali Shafie yang ketika itu Menteri Kebudayaan dan Penerangan berjumpa P Ramlee di tempat duduk peserta dan bertanyakan beberapa soalan berkenaan kejayaan beliau mengondol anugerah Asia.


Aku kurang pasti, dan setahu aku, Ghazali menjadi menteri kabinet hanya di bawah kepimpinan Tun Abdul Razak Hussein.


Aku petik dari buku itu dialog P Ramlee dengan Ghazali.


Ghazali: Tahulah, tapi macam mana you boleh menang dan macam mana juri dari Hong Kong, Jepun dan dua orang juri jemputan dari Australia boleh pilih filem you sedangkan mereka tak faham bahasa kita?


P Ramlee: Filem dan lagu tidak memerlukan bahasa yang khusus. Seni adalah bahasa universal.. Gua (saya) hasilkan seni dari gua untuk masyarakat dan daripada masyarakat untuk gua. Ada nasihat ada sindiran dan teguran agar masyarakat boleh berfikir... Gua pun kutuk lu punya geng juga.. (sambil ketawa).


Ghazali: You kutuk apa? I tak nampak pun..


P. Ramlee: Alif mim nun wau tu lu punya geng la...


Ghazali: Hah.. I tak faham la..


P Ramlee: Alif itu akal, wau itu ugama. Alif tendang wau - sarkis, bermakna akal tendang (tolak) agama maka manusia akan menjadi seperti binatang-binatang sarkis, hidup tanpa agama ini hanya layak untuk (makhluk) bukan manusia saja. Alif min nun wau, kan bunyinya Umno.


Setakat ini, inilah satu-satunya sumber bertulis (yang aku jumpa) tentang cerita di sebalik dialog tersebut.





Jika ini boleh dijadikan hujah bahawa P Ramlee memang sengaja mengkritik Umno menerusi dialog filem Pendekar Bujang Lapok, apakah yang mendorong beliau menyindir sebegitu tajam?


Tentu ada peristiwa-peristiwa politik besar yang mendorong P Ramlee mengkritik Umno. Ini pasti berkaitan dengan konteks semasa yang menjadi latar belakang sesuatu karya itu dihasilkan. Sedangkan Umno secara umum ketika itu dipandang sebagai parti yang membawa kemerdekaan kepada Malaya.


Sumbangan Umno sangat besar ketika itu. Filem Pendekar Bujang Lapok itu diterbitkan dua tahun selepas Malaya merdeka. Tentu sekali sentimen rakyat pada Umno sangat kuat.


Umno melalui Perikatan telah menang semasa dalam pilihan raya umum 1955 dengan mencatat kejayaan cukup bergaya.


P Ramlee tinggal dan berkarya di Singapura yang secara politiknya terpisah dengan Malaya tetapi berkongsi budaya dan sosial sama.


Singapura adalah pusat pembangunan dan kemajuan serta sebuah kota yang dihuni oleh pelbagai kaum. Singapura - seperti juga Pulau Pinang - banyak membentuk pemikiran P Ramlee dalam berkarya.


Dalam filem-filemnya, P Ramlee cuba mempamerkan wajah Malaya yang pelbagai kaum.


Jika diambil dialog P Ramlee dengan Ghazali seperti dicatat Abdullah, kritikan seniman itu terhadap Umno adalah kerana parti berkenaan tidak menggunakan akal dan membuang agama!


petikan dari tulisan:
DR MUHAIMIN SULAM aktivis politik, pensyarah universiti dan penulis buku serta esei.

No comments:

 

Bali Accommodation