Monday, November 24, 2014

rahsia solat dan solat rahsia

  
Bismillahirrahman’nirrahim.

Solat bukanlah sekadar rukun Islam yang ke-2, lebih dari itu, solat adalah satu jalan untuk kita sampai kepada Allah mengikut jalan Muhammad. Solat adalah jalan yang telah dirintis oleh Nabi Muhammad pada peristiwa Isra’ Mikraj yang mahsyur lagi penuh hikmah dan  rahsia. 

Maha Suci Allah yang telah menjalankan hambaNya (Muhammad) pada malam hari dari Masjid Al-Haraam (di Makkah) ke Masjid Al-Aqsa (di Palestin), yang Kami berkati sekelilingnya, untuk memperlihatkan kepadanya tanda-tanda (kekuasaan dan kebesaran) Kami. Sesungguhnya Allah jualah yang Maha Mendengar, lagi Maha Mengetahui.  (Surah Al-Israa’: 1)

Pernah seorang sahabat saya bertanya bagaimana mahu mengecap nikmat kelazatan dalam solat?? Sahabat saya itu mengakui bahawa beliau solat sekadar  ikut-ikutan dan tidak pernah menikmati kelazatan solat. Saya juga mengakui bahawa saya pun belum merasai kemuncak nikmat kelazatan solat selain nikmat-nikmat solat yang umum.

Di dalam menghadapi apa jua situasi, kita mesti mendahulukan Allah. Saya menangguhkan pertanyaan sahabat saya untuk bermunajat memohon petunjuk daripada Allah. Kemudian sampai petunjuk Allah kepada saya berkenaan rahsia asal usul solat. 

Firman Allah, “Allah memberikan Hikmat kebijaksanaan (ilmu yang berguna) kepada sesiapa yang dikehendakiNya. Dan sesiapa yang diberikan hikmat itu maka sesungguhnya ia telah diberikan kebaikan yang banyak. Dan tiadalah yang dapat mengambil pengajaran (dan peringatan) melainkan orang-orang yang menggunakan akal fikirannya.” (Al-Baqarah : 269)

Jika kita teliti, di manakah sebenarnya rahsia solat? Cuba kita ingat ketika seruan azan “Haiya’alassolah” maka kita akan menyahut “Lahaulawala’quwatailla’billahil’aliyil’azim”. Ertinya apabila diseru “Marilah solat” maka kita menjawab “Tiada daya upaya dan kekuatan melainkan dengan Allah” jelas membuktikan bahawa kita sememangnya tiada daya upaya untuk mendirikan solat melainkan dengan Allah (Billah). Maka untuk mendapat solat yang sempurna, solat itu mesti didirikan dengan Allah iaitu kita mesti berdiri di dalam sifat Ketuhanan. Hanya Muhammad yang boleh berdiri di dalam sifat Ketuhanan walaupun Muhammad itu seorang hamba dan pesuruh.

Umum mengetahui bahawa, solat adalah kurniaan Allah, yang diterima oleh Nabi Muhammad melalui peristiwa Isra’ Mikraj sewaktu pertemuan baginda dengan Allah di Arasy Kursi Mustawa iaitu di kemuncak Sidratul Muntaha. Nabi Muhammad dikurniakan solat 50 waktu sehari semalam sebagai tiang agama Islam. Bayangkan setiap 28 minit berkumandang seruan azan dan solat wajib didirikan tanpa berdolak dalih. Maka apa akan jadi dengan kita umat Muhammad sedangkan solat 5 waktu yang ada ini pun sangat berat untuk didirikan?

Dalam perjalanan turun, Nabi Muhammad bertemu dengan Nabi Musa yang menasihatkan agar Nabi Muhammad naik semula bertemu Allah untuk memohon pengurangan. Nabi Muhammad pun naik semula ke Arasy Kursi Mustawa bertemu Allah dan Allah mengurangkan sebanyak 5 waktu. Proses ini berulang sebanyak 9 kali dengan jumlah pengurangan keseluruhan adalah sebanyak 45 waktu. Maka tinggallah solat 5 waktu yang Nabi Muhammad bawa turun ke bumi untuk disyariatkan oleh sekelian orang yang beriman. Solat bukan sekadar syariat, tetapi solat itu meliputi urusan syariat, tarikat, hakikat dan makrifat sekali harung.

Sebagai seorang Mukmin/Mukminah juga Muslim/Muslimah yang mahu menikmati kelazatan solat, mestilah menunaikan solat bukan sekadar satu syariat solat, tetapi perlu juga ditunaikan sekaligus dengan tarikat solat, hakikat solat dan makrifat solat.

SYARIAT SOLAT - adalah pekerjaan tubuh di mana ada 7 pergerakan utama iaitu berdiri memeluk tubuh (Qiam) yang dimulai dengan ikrar takbiratul ihram, rukuk, iktidal, sujud, duduk antara dua sujud, sujud semula dan duduk tahyat yang disudahi dengan salam. Cuba teliti betul-betul, percaya atau tidak bahawa apabila kita mendirikan solat, sebenarnya kita mengulangi perjalanan Mikraj Nabi Muhammad. 

Sabda Nabi Muhammad, “Dirikanlah solat sebagaimana kamu melihat aku solat.” (Riwayat al-Bukhari)

Bermula dengan niat dan berdiri betul, apabila kita hadapkan kiblat (hati) kita ke Kaabah, sebenarnya kita sudah sampai di dalam Kaabah dalam keadaan ber’ihram. Apabila kita mengangkat kedua-dua tangan sebagai ikrar ‘Takbiratul Ihram’, sebenarnya kita sedang mendaki ruang langit pertama sehingga ke bumbungnya. 

Firman Allah, "Sesungguhnya Kami telah menghias langit yang terdekat dengan hiasan, yaitu bintang-bintang." (As-Saffat: 6)

Bumbung langit pertama pula adalah lantai langit kedua. Apabila kita turunkan tangan lalu memeluk tubuh, sebenarnya pintu langit kedua sudah terbuka dan kita berdiri (Qiam) bersama-sama para Malaikat yang terus-menerus berdiri sehingga hari Qiamat. Apabila bertakbir untuk rukuk, kita sebenarnya sedang mendaki ruang langit kedua sehingga ke bumbungnya. Bumbung langit kedua itu pula adalah lantai langit ketiga. Di lantai langit ketiga kita rukuk bersama-sama para Malaikat yang rukuk terus menerus sampai hari Qiamat. Kemudian kita bertasbih dan bertahmid mendaki langit ketiga sehingga ke bumbungnya. Bumbung langit ketiga adalah lantai langit keempat. Di sini kita iktidal bersama-sama para Malaikat yang iktidal terus menerus sampai hari Qiamat. 

Kemudian kita bertakbir untuk sampai ke lantai langit yang kelima. Kita sujud bersama-sama dengan para Malaikat yang terus menerus sujud sampai hari Qiamat. Kemudian kita bertakbir untuk sampai ke lantai langit keenam dan seterusnya duduk bersama-sama para Malaikat yang duduk terus menerus sampai hari Qiamat. Kita bertakbir lagi untuk sampai ke lantai langit ketujuh dan bersujud lagi bersama-sama para Malaikat yang bersujud terus menerus sampai hari Qiamat. Akhir sekali, kita bertakbir untuk sampai ke Sidratulmuntaha terus ke Arasy Kursi Mustawa di mana ketua para Malaikat, iaitu Malaikat Jibril pun tidak boleh sampai. Kita duduk TAHYAT dan membaca Tahyat terus kita BERSYAHADAH, bersolawat dan salam. Sebenarnya, gerakan yang kita lakukan semasa solat adalah syariat para Malaikat di setiap tingkatan langit yang Nabi Muhammad saksikan di dalam perjalanan Mikraj, seterusnya disusun sebagai tertib gerakan tubuh di dalam solat.

TARIKAT SOLAT - adalah pekerjaan nyawa iaitu nafas. Ianya berbentuk bacaan ayat Al Quran, takbir, tasbih, tahmid, tahlil, solawat dan salam dengan menjaga tajwid dan harakat nafas serta harakat bacaan.

Firman Allah, “Dan bacalah Al-Quran dengan "Tartil".” (Al-Muzammil : 4)

HAKIKAT SOLAT - adalah pekerjaan roh iaitu mengingati Allah dengan menyebut nama Allah di dalam setiap harakat nafas.

Allah berfirman “Bacalah serta ikutlah akan apa yang diwahyukan kepadamu dari Al-Quran, dan dirikanlah solat; sesungguhnya solat itu mencegah dari perbuatan yang keji dan mungkar; dan sesungguhnya mengingati Allah adalah lebih besar; dan Allah mengetahui akan apa yang kamu kerjakan.” (Al-Ankabuut : 45)

Firman Allah lagi “Wahai orang-orang yang beriman! Apabila diserukan azan untuk mengerjakan sembahyang pada hari Jumaat, maka segeralah kamu pergi (ke masjid) untuk mengingati Allah dan tinggalkanlah berjual-beli, yang demikian adalah baik bagi kamu, jika kamu mengetahui.” (Al-Jumaah: 9)

MAKRIFAT SOLAT - ialah pekerjaan serentak syariat, tarikat dan hakikat yang naik ke puncak Sidratul Muntaha iaitu Arasy Kursi Mustawa sebagai saksi dengan menafikan segala-galanya melainkan wujud Allah semata-mata dan Muhammad adalah pesuruh Allah.

Firman Allah, “Dan ketika Tuhanmu mengeluarkan zuriat anak-anak Adam dari (tulang) belakang mereka, dan Dia jadikan mereka saksi terhadap diri mereka sendiri, (Kemudian Allah berfirman): "Bukankah Aku Tuhan kamu?" Mereka semua menjawab: "Benar, sesungguhnya kami menjadi saksi". Yang demikian supaya kamu tidak berkata pada hari kiamat kelak: "Sesungguhnya kami adalah lalai (tidak diberi peringatan) tentang (hakikat tauhid) ini".” (Al-Araff : 172)

Dalam konteks ‘Awaluddin Makrifatullah’, kita wajib mengenal diri kita bukanlah sekadar tubuh, tetapi hakikatnya kita adalah Roh atau Nur Muhammad yang berasal usul dari Muhammad dan Muhammad pula adalah Nur Allah yang berasal usul dari Allah Rabbul Izzati iaitu Zat Yang Maha Tunggal. Maka di dalam konteks 'Akhiruddin Makrifat Islam' untuk sampai kepada Allah, kita wajib mengikuti jejak Muhammad iaitu SOLAT.

Firman Allah “Bacalah serta ikutlah akan apa yang diwahyukan kepadamu dari Al-Quran, dan dirikanlah solat; sesungguhnya solat itu mencegah dari perbuatan yang keji dan mungkar; dan sesungguhnya mengingati Allah adalah lebih besar; dan Allah mengetahui akan apa yang kamu kerjakan.” (Al-Ankabuut : 45)

Jelas dari firman Allah ini, seseorang yang khusyuk di dalam solat akan terhindar dari melakukan perkara keji dan mungkar, sedangkan solat orang munafik, fasik atau musyrik akan hanya mengundang kemurkaan Allah. Ini kerana hati mereka lalai dari mengingati Allah sedangkan syariatnya mereka seolah-olah mendirikan solat.

Firman Allah, “Maka kecelakaan besar bagi orang-orang Ahli Solat. (laitu) mereka yang berkeadaan lalai daripada menyempurnakan sembahyangnya.” (Al-Maa’uun: 4-5)

Kesimpulannya, kita semua perlu kembali kepada Muhammad untuk sampai kepada Allah dan satu-satunya jalan adalah dengan jalan solat.

Sila kongsikan artikel ini kepada Ahli-ahli Muhammad yang lain.
muhammadibnuabdullah


No comments:

 

Bali Accommodation