Umumnya di Malaysia tanggapan tipikal
orang melayu khususnya adalah, melayu mesti Islam, cina mesti budha, india
mesti hindu, serani mesti kristian dan lain2. Tapi ia tak semestinya dan tak
sepatutnya demikian, kerana bangsa tidak melambangkan atau menunjukkan agama.
Apa kena mengena bangsa dengan agama? Tiada langsung. Di China, ramai penduduk
beragama Taoist atau budha. Tapi berjuta-juta juga yang beragama Islam. Malahan
lebih ramai daripada Islam di Malaysia. Di India, majoriti beragama Hindu
tetapi tak kurang ramai yang beragama Islam. Di Indonesia yang majoritinya
beragama Islam, ramai juga yang beragama Hindu, budha, Kristian dan sebagainya.
Di Negara-negara Arab seperti Mesir dan Lubnan ramai orang Arab yang beragama
selain daripada Islam.
Jadi, bila di Malaysia ini ada melayu
yang bukan beragama Islam, ramai yang melatah dan melabelkannya dengan istilah
murtad lantaran tanggapan umum melayu mestilah Islam di Malaysia. Sesungguhnya
tanggapan ini adalah sesuatu yang meleset. Pernahkah kita bertanya apa sebab
dia memilih jalan begitu? Bagaimana didikan agamanya selama ini? Apa yang
menyebabkan dia memilih jalan itu? Sesungguhnya dalam agama itu tiada paksaan.
Tidak bolehkah kita cuba menyiasat dan memahami terlebih dahulu? Apatah lagi
bila kita mengambil kira melayu Islam di Malaysia ini rata-rata adalah Islam
warisan. Bila mana mak bapak datuk nenek moyang kita dulunya Islam, maka kita
melayu kononnya semua mesti Islam. Salah tu!
Kenapa saya katakan demikian adalah
kerana Islam kita hanyalah ikut-ikutan kebanyakkannya. Ibadat dan cara dan gaya
hidup dipisahkan. Islam tidak benar-benar meresap dalam jiwa dan menjadi cara
hidup kita. Contohnya berapa ramai daripada kita faham bacaan dan wirid dalam
solat itu? Paling tidak pun cuba
memahami al-fatihah. berapa ramai yang mengamalkan disiplin semasa
solat di luar solat? Kenapa kita berpuasa hanya menahan lapar dan dahaga
tapi mata , mulut dan telinga, dan lebih-lebih lagi hati, kita abaikan dan tak
menjaganya? Kenapa kita bersungguh beraya sampai habis sebulan syawal? Sedarkah
kita aidil fitr adalah kembali ke fitrah kita, yakni sesuci bayi yang baru
dilahirkan tetapi pada hari raya kita berfoya-foya makan minum tak ingat dunia
seakan sebulan puasa kita dipaksa menahan lapar dan dahaga, maka bila tiba hari
raya kita seolah membalas dendam. Kenapa jadi begini? Jawabnya, Islam kita
adalah Islam warisan.
Sedarkah kita Islam @ iman tak boleh
diwarisi? Nabi Nuh, Nabi Lut masing-masing tak mampu mengajak anak isteri ke
jalan yang diredhai. Dalam satu lagu kumpulan Raihan, bait-bait liriknya
menyatakan iman tak dapat diwarisi dari seorang ayah yang bertakwa. Iman
bukannya boleh ikut-ikutan. Iman bukannya boleh dijual beli. Iman adalah
abstrak. Suatu keyakinan yang tak dapat dihuraikan. Hanya jauhari mengenal
manikam.
Bila mana kita menyatakan kita
beragama, sepatutnya agama itulah cara hidup kita. Kalau benar agama cara hidup
kita, agama itu hidup dalam diri kita. Kita akan hidup berlandaskan agama.
Zahir dan batin. Berapa ramai yang solatnya cukup lima waktu? Berapa ramai yang
boleh mengatakan dia khusyuk dalam solatnya? Berapa ramai yang memasang niat
untuk melakukan pekerjaan hari itu sebagai satu ibadah kepada Tuhan, lalu
berdoa sebelum keluar rumah, dan berdoa sepanjang hari? Berapa ramai yang sentiasa
memberi salam dan senyuman kepada sesama insan, walaupun tak dikenali? Berapa
ramai yang menjaga adab dalam majlis, yang menjaga hati orang lain, yang
menghormati sesama insan, yang sentiasa cuba mengembirakan orang di
sekelilingnya, yang suka menolong tanpa minta dipuji apatah lagi dibalasi,
menolong tanpa perlu dipinta dan dipaksa, melakukannya demi Allah semata-mata.
Islam itu agama kedamaian, agama yang
menganjurkan kasih sayang sesama insan, agama yang toleran. Tetapi di luar sana
kita melihat ramai orang yang melakukan sebaliknya. Anak muda orang tua lelaki
perempuan tanpa rasa bersalah dan malu terlibat dengan jenayah, dengan
dadah, maksiat, mengadu domba, orang yang berkuasa berlaku zalim memakan riba,
menipu dan berjanji palsu, ramai orang Islam bermusuhan sesama sendiri.
Membunuh, merompak, menipu, adalah lumrah masa kini. Gejala sosial di kalangan
remaja begitu membimbangkan. Apatah lagi dengan zina, membunuh anak yang tidak
berdosa, anak-anak derhaka pada orang tua, anak muda hilang rasa hormat pada
orang yang lebih tua. Inilah permasalahan yang timbul bila Islam kita selama
ini hanyalah warisan, disulami dengan hiburan yang tiada henti, kemudahan FB,
apps telefon pintar yang menghantui, lahirlah insan yang berpura-pura, yang
bermuka-muka, munafiq, hidup umpama berada dalam bahtera tiada bernakhoda.
Hanyut dan terus hanyut menanti ditelan ombak ganas kehidupan yang lagho lagi
sementara.
Kalau umat manusia hari ini
benar-benar beragama, tidak kiralah agama apa sekalipun kerana sesungguhnya
semua agama menganjurkan kebaikan dan kasih sesama insan, nescaya tiada
sengketa. Nescaya semua gembira bersama, berat dipikul ringan dijinjing. Semua
akan hidup aman damai penuh kasih sayang. Semua umat manusia akan berada dalam
suasana syurga. Tenang dan syukur selamanya.
Kesimpulannya, manusia harus
menyedari hakikat tiada agama atau iman yang boleh diwarisi. Lantaran hidup ini
penuh dengan kepalsuan, ibubapa dan para guru serta ilmuan mesti memainkan
peranan dan merencanakan pedoman agar anak-anak kita hari ini akan menjadi
insan yang berpekerti tinggi di suatu hari, yang mengimbangi hidup ini
agar berjaya duniawi ukhrawi.
Saya menantikan hari itu..
-nkc-
6th July 2015
No comments:
Post a Comment